Perbezaan Jemaah dan lantang suara suara anak muda.

image

Saya ingat lagi beberapa tahun lepas saya ditanya “Awak kenapa join IKRAM?” Pada waktu itu saya yang terlalu ‘hijau’ tidak punya apa apa jawapan. Takkan saya nak jawab:

“Oh, saya join IKRAM sebab Naqibah saya IKRAM. Kawan kawan yang rapat dengan saya semua IKRAM. Sebab tu saya join IKRAM. Dah benda baik, teruskan saja”

Ia pasti jawapan yang tidak matang. Maka saya diamkan sahaja. Saya masih tercari cari pada waktu itu. Bahkan pada majlis pelancaran pada tahun 2010 saya terpinga-pinga apabila melihat makcik disekeliling saya menangis tersedu-sedan sewaktu sesi bacaan doa. Kerana saya tidak tahu betapa peritnya mereka berjuang selama puluhan tahun. Apa yang saya tahu pada waktu saya merasa manisnya tarbiyah, manisnya waktu waktu itu  saya disantuni dan ditarbiyah oleh makcik naqibah saya. Melihat mereka berkorban masa dan berkorban untuk infaq. Menyantuni kami seperti anak-anak sendiri. Bahkan saya hampir terlupa saya ini anak sabah yang jauh bermusafir, kerana saya merasa sangat disantuni dan tidak kesunyian. Qudwah mereka amat berbekas di hati saya, semangat juang mereka yang berjuang melawan lelah, sehingga suatu hari saya bertekad saya bercita-cita mahu menjadi seperti mereka.

Tapi itu bukan poin utama kenapa saya menulis artikel ini. Saya bukan mahu bercerita tentang latar belakang jemaah-jemaah di Malaysia mahupun jemaah IKRAM. Kerana itu boleh dikaji oleh anda sendiri (Pastikan dari mereka yang berautoriti, ahli akademik dan kajian akademik yang sahih. Jangan cuma mengambilnya dari Internet semata. Internet penuh beremosi)

6 tahun saya direzekikan Allah di jalan tarbiyah ini. 6 tahun adalah usia mentah yang baru setahun jagung di jalan dakwah berbanding mereka yang sudah sedia lahir dalam keluarga dakwah, kakak abang, makcik pakcik yang sudah puluhan tahun berjuang. 6 tahun benak saya merintih tertanya tanya akan sesuatu.

Alhamdulillah, Allah seakan akan memahami persoalan dan tanda tanya di dalam kepala saya dan selepas saya berhijrah dari bumi saya kenali tarbiyah saya direzekikan melanjutkan pelajaran di dalam pengajian islam dakwah di negeri persisiran pantai. Sedikit demi sedikit saya bercampur baur dengan classmates yang datang dari pelbagai jemaah dan fikrah masing masing. Didampingi pensyarah pensyarah yang juga pelbagai fikrah dan membimbing tanpa berat sebelah faktanya, sedikit sebanyak menjawab kekeliruan yang bermain di kepala saya ini.

Dan saya masih mencari dan belajar.

(Terima kasih kepada cuti mid term sekarang ini akhirnya berpeluang juga saya menulis apa yang terpendam di hati)

KERISAUAN SAYA.

Apabila buka laman maya para aktivis dakwah dari pelbagai latarbelakang jemaah(tak semua aktivis, cuma segelintir) saya seakan akan masuk ke satu dunia yang bising, penuh dengan perdebatan tajam, sinis, dan pedas. Dan saya beralih masuk ke dunia instagram, saya seperti masuk ke dunia yang lain. Penuh dengan puisi puisi lembut Muslimah, berpelangi seakan ada di taman bunga yang sunyi dan hening. 2 suasana yang kontra. Dan kebanyakan suasana begini dimeriahkan oleh golongan muda. Sebaya saya.

Saya tahu perlunya daie itu kritis berhadapan dengan isu isu kritikal, dan dakwah itu caranya pelbagai. Tetapi, melalui akhlak yang bagaimanakah yang sebenarnya boleh diambil?

Adakah diperbolehkan sindir menyindir, sarkastik, sinis?

Seorang pensyarah yang begitu dekat dengan pelajar  menasihati:

“Anak anak muda, masa ini bukan masa untuk awak berbalah kutuk tokoh ini, kutuk tokoh tu, masa ini masa awak belajar! Kami berharap agar masa ini antum taksubkan ilmu dari taksubkan mana mana pihak”

Ikhwah akhawat yang dikasihi Allah,

Akhlak bagaimanakah sebenarnya yang dituntut apabila kita berhadapan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan kita?

Kita mengikut gagasan pemikiran Al Banna, jika benar, bagaimana kah panduan Al Banna dan tokoh yang lain dalam hal sebegini?

Adakah ini cara yang diajar oleh jemaah jemaah kita? Cara yang bagaimana yang sebenarnya kita boleh ambil?

Saya terpanggil untuk berkongsi penulisan seorang syuyukh, Ustaz Hasanuddin, katanya:

“Maka dalam dunia perbezaan pendapat, tegaslah setegas-tegasnya tetapi keridhaan Allah SWT jua maksud kita, walau terpaksa berbeza”

Maka:

1. Jangan putuskan persaudaraan

2. Jangan sampai mengkafir atau membodohkan saudara kita

3. Jangan sampai tidak menghormati pandangan, paling tidak kena bersedia dan sabar untuk mendengar

4. Jangan memfitnah saudara kita walau kita tidak suka sikap, pandangan dan perbuatannya

5. Jangan menggelar mereka dengan gelaran yang mereka tidak senangi

Kekallah menghormati mereka di mana sahaja mereka berada.”

Akhlak yang Rahmah itu, bukan terhad hanya kepada cara kita menyantuni adik adik usrah kita dan mad’u mad’u kita yang lainnya. Akhlak Rahmah yang kita laungkan dan dakwah dakwah kan itu juga akan Allah uji sewaktu kita berhadapan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan kita.

Jadi izinkan saya membawa kita semua bermuhasabah semula termasuk diri saya.

Adakah dengan menjerumuskan diri dalam perdebatan kritikal politik dan taadud jemaah dengan bahasa yang menyakitkan hati, sindir, sarkastik akan menjadikan kita lebih matang di jalan dakwah?

Adakah dengan menceburkan diri dengan  kemelut demikian akan membuatkan level pemahaman tarbiyah dan kredibiliti kita sebagai daie akan meningkat?

Percayalah, saya sendiri pernah tanpa sedar terlajak masuk ke dalam pergelutan yang sama. Orang muda, hamasahnya lantang, hikmahnya masih kurang.

Ikhwah akhawat yang disayangi Allah dan dipilih Allah membawa risalahNya, kita pasti tidak mahu kan jika legasi dakwah kita ini diwarisi dan digerakkan oleh para penyindir, para sarkastik, dan pencinta perdebatan? Takut takut masyarakat melihat kita segerombolan spesis manusia yang suka marah marah.

Apa pandangan ibu bapa kita, jiran sebelah rumah kita, maklong, adik adik binaan kita dan orang sekeliling kita? Kita diperhatikan. Jangan terkejut jika nanti ada adik adik binaan kita yang keliru. Samada mahu bergerak dakwah bersama sama jemaah, atau memilih terus berseorangan? Jangan salahkan adik adik. Mereka juga seperti span, seperti kita, seperti saya, yang tengah cuba menyerap segala sesuatu.

HAKIKAT JEMAAH JEMAAH KITA YANG SEBENARNYA:

Jika kita telusuri bagaimana setiap jemaah di Malaysia diwujudkan, sejarah dan latarbelakangnya kita akan menemui satu persamaan: Tujuannya sama. Dakwah ilallah (Ini tidak perlu dihurai, anda sedia tahu)

Fundamental kita tetap sama. Quran dan Sunnah.

Gerakan-gerakan Islam di Malaysia sangat rumit latarbelakangnya. Kemunculannya banyak dan pelbagai. Dan kebanyakkan darinya sinonim dengan kebangkitan pada tahun 60 an dan 70 an yang popular sebagai “Islamic Student Movement”. ABIM, PAS, IRC, HALUAN, IKRAM, ISMA dan lain lain yang anda pasti familiar muncul pada sekitar era ini dan tahun tahun mendatang kemudiannya. Pada waktu ini, makcik pakcik yang berjuang dalam keadaan ‘sakit’. Kelengkapan tidak cukup seperti apa yang kita (anak muda) ada dan nikmati sekarang. Zaman mereka adalah zaman memperjuangkan ‘Islam sebagai cara hidup’. Masyarakat berubah sedikit demi sedikit, dari kegiatan dakwahnya, cara berpakaiannya, peka makan halal haramnya. Zaman mereka adalah zaman anjakan paradigma awal.

Tetapi zaman kita agak rumit dan berbeza, zaman kita adalah zaman yang dipanggil sebagai ‘zaman problem solving’. Lubuk informasi berlambak lambak tidak terkawal sehingga terpaksa diteliti kesahihannya. Pendapat pendapat anak muda semakin kreatif dan kritis menuruti banyak sumber boleh dirujuk. Kadang boleh jadi sampai kita menjadi terlalu manja dan disuap. Ia perlu dikawal dan dikelola sebaiknya menuruti disiplin ilmu yang sebetulnya. Generasi kita adalah generasi yang menempuhi zaman bermain main dengan emosi media. Kita kecairan dengannya.

Pada satu wacana gerakan islam alam melayu yang disampaikan oleh Prof Dato Mohd Bakar beliau berkata:

“Adakah kita ini (dengan banyak jemaah yang ada) larut dengan rahmatan lil alameen tapi dalam masa yang sama masih tidak mampu membawanya?”

Tambahnya lagi,

“Jemaah jemaah yang ada harus meletak sasaran jangka jauh. Setiap sesuatu yang luar biasa adalah gabungan dari perkara perkara luar biasa. Beliau membawa analogi jemaah jemaah kini seperti aliran aliran air yang pelbagai. Aliran aliran kecil yang tujuannya sama. Kita ada prasarana yang cukup, ulama dan asatizah yang ramai, dan badan Islam yang banyak harus diikat bersama dan diarustalikan untuk membentuk satu aliran yang luarbiasa sistematik.”

“Tetapi dikhuatiri juga, seperti air, tanpa pengaliran sistematik ia berhenti di penghujung masing masing. Akhirnya kering dan mati. Walhal tujuannya sama.”

“Kita harus berfikir, bagaimana mahu menjadi satu tubuh badan yang bertindak tanpa terus retorik”

Juga Prof juga ada menyebut. “Hakikatnya jemaah jemaah Islam kini kita baru meronta ronta. Bertenggek pun belum lagi.”

Pedas. Tetapi apabila dimuhasabah, ia benar.

Saya bayangkan, kita baru berjalan atau bertatih, berlari belum lagi. Mencabar nya dunia kita selepas kehilangan khilafah, kita umat ibarat anak yang kehilangan bapa kita. Kita semua cuba bangkit dengan keupayaan masing-masing. Kita semua masih dhaif. Jadi jangan pernah rasa ujub dan merasa jemaah jemaah kita masing masing yang terhebat. Sedarlah hakikat bahawa kita ini dhaif.

Selalu disebut-sebut akhawat “Akhirnya jemaah jemaah di dunia ini akhirnya akan menjadi satu jemaah sahaja, tapi ia akan terjadi sewaktu Islam bangkit semula suatu hari nanti..”

Ya, saya masih merindui bilakah akan tiba masa itu. Adakah Allah akan izinkan kita melihatnya? Boleh jadi kita tidak berkesempatan melihatnya. Apa yang pasti. Kita harus terus bekerja.

Seorang pensyarah jabatan saya yang saya kagumi semangat dakwahnya juga ada berpesan:

“Masalah berbeza manhaj bukanlah sesuatu masalah yang perlu diperbesarkan, ada salafi, ada haraki, ada tabligh, ada mawlid, apa yang penting kita kena sentiasa ingat untuk mencari kesepakatan dalam hal hal yang boleh disepakati.

Jadi solusinya adalah… ikhlas itu menundukkan hati. IKHLAS. Jangan pernah merasa kita lebih baik dari yang lain. Lebihkan fokus kita dalam beramal. Bukan bertelagah.

Taadud jemaah ini, kita kena bersikap rasional, umat kita kini rencam, kita kena sedar dalam satu umat, kita adalah kumpulan kecil sahaja. Kita ini dhaif. Jadi raikanlah apa apa sumbangan yang boleh menyumbang pada daulah. Hormati perbezaan, jauhi ujub, dan sama sama kita bekerja”

SERUAN PADA RAKAN SEPERJUANGAN TERUTAMANYA ANAK MUDA SEBAYA SAYA WALAU DARI JEMAAH MANAPUN ANDA

Dengan mengenali kedhaifan kita dan jemaah jemaah yang banyak ini, dengan kesakitan umat yang semakin bernanah, kita harus sedar kita sudah tidak ada masa untuk terus bertelagah dan hidup setiap hari dengannya.

Cuba tanyakan pada pakcik makcik yang sudah puluhan tahun berjuang itu, mereka bakal dijemput Allah berehat selamanya dan meninggalkan legasi dakwah ini untuk kita. Mereka pasti tidak mahu kita menyambung nyambung dan memperbesarkan persengketaan zaman mereka yang berlalu. Percayalah, mereka pasti akan mahu tepuk bahu kita dan kata “Awak kerja terus kerja. Sambung kerja, jangan buang masa. Kerja kita masih banyak”

Jadi jangan lah kita teruskan akhlak sarkastik begini dan membuang tenaga kita yang masih tersisa. Menimba ilmu zaman muda pun sudah memenatkan kita, banyak lagi yang perlu dipelajari sebelum menginjak usia 30 an. Adakah kita punya masa untuk terus bertelagah? Serahkan sahaja pada mereka yang sudah cukup ilmunya dan kefaqihannya untuk menyelesaikan konflik-konflik dan krisis yang ada. Takut takut kita hanya akan memburukkan keadaan.

“Hargailah usia 20-an dengan memantapkan ilmu di dada sebelum berkhidmat tika 30-an menjelang. Banyak yang kita boleh selesaikan, jika masyarakat sibuk dengan ilmu, bukan dengan isu” -Ustaz Hasrizal Jamil

Jika kita terus terusan menghangatkan perbezaan yang ada, makin berjurang jurang lah kita. Walhal berselisihnya kita ini seperti berselisihnya adik beradik. Kita merujuk kepada Quran yang sama, Hadis yang sama, walaupun ada beberapa tempat tertentu yang berbeza dan mungkin ada yang boleh ditoleransi. Jangan lah kita sampai mengimani dan mengagamakan perbezaan yang ada. Cari lah tempat tempat yang boleh disepakati dan raikan tempat tempat itu.

Saya puji budaya akhawat ABIM yang saya kenali. Terus terang saya sendiri pernah pergi ke talk-talk mereka. Mereka sangat meraikan saya sebagai tetamu bila tahu saya satu satunya ahli IKRAM yang ada disitu. Kami selesa bercerita dan berkongsi bahan bahan pentarbiyahan. Kadang saya sendiri melihat catatan catatan daurah mereka. Begitu juga beberapa muslimat PAS yang saya kenali. Mereka tahu saya IKRAM, tapi kami tidak pernah kekok berkongsi bacaan bacaan ikhwanul muslimun dan bercerita. Bahkan rasa manisnya bila bertembung dimana mana selepas itu, bagi salam dari jauh. Rasa gembira bila sudah tahu seseorang itu juga mahukan apa yang kita mahu, kebangkitan Islam. Tidak ketinggalan juga akhawat PEMBINA, saya kagumi akhlak dan sifat lemah lembut mereka, rajin bertanya khabar, walau ada cerita pertembungan di pihak atasan itu bukan dijadikan alasan untuk tidak berkongsi ilmu dan sepakat dalam hal hal yang patut diraikan dan disepakati. Saya juga beberapa kali diajak untuk join sesi ta’lim tabligh. Tapi saya belum berkesempatan untuk ijlis bina numin saah bersama mereka. Saya turut menggalakkan adik lelaki saya join tabligh. Kerana saya merasa itu lebih sesuai dengan waqienya di Sabah.

Melalui dari sesi sesi berkenalan ini, kita akan lebih memahami rakan rakan kita di jemaah yang lain. Kepahitan apa mereka lalui? Kesakitan apa mereka rasai? Dahulu hanya mengenali ikhwah akhawat IKRAM sahaja, bila mengenali jemaah lain kita menyedari mereka juga turut diuji dengan pahit getir dan bersakit sakit juga seperti kita. Pokoknya, kita semua sedang bersakit sakit bersama sama.

Sudah namanya ADIK BERADIK kan, sama sama rasa sakit. Sama sama terluka. Sama sama kehilangan bapa. Sama sama rindukan KHILAFAH.

“Kamu orang muda, kamu belum tahu lagi asam garam kehidupan yang sebenarnya. Taktahu apa yang jadi di pihak atasan. Masa muda memang taknampak lagi cabaran dakwah sebenar”

Ya betul, sebab saya orang muda yang baru usia 6 tahun ini lah saya taknak terlibat dengan perbalahan yang ada sebab saya bukan ahlinya Hehehehehehehhehehe

Mungkin di zaman kita jadi pakcik makcik, lain pula betuk konfliknya. Zaman dan waqie’ sentiasa berubah. Cuma saya berharap, ia akan lebih membaik dari sebelumnya. Tapi apa yang pasti, di usia muda ini, bukan lah autoriti kita untuk menyambung krisis yang sedia ada. bukan zaman kita berdebat debat dan sakit hati sendiri sendiri. Zaman ini zaman kita belajar dan belajar! Kita masih menggali hikmah. Mohon tunjuk ajar. Kita masih cuba mengukuhkan akar, bagaimana mahu ke dahan yang kukuh kalau akarnya sahaja tidak cukup tumbesaran yang sihat. Dunia dakwah yang diingini pada masa depan kitalah yang akan mencorakkannya. Bersedialah.

KITA PERLU DISUSUN UNTUK MENJADI SATU BADAN. PERLAHAN TAPI PASTI.

Saya tidak lah layak menyeru nyeru dengan lantang menggunakan mikrofon  “Marilah kita semua bersatu kearah satu jemaaahhhhhhh!” Sambil mengibar ngibar bendera khilafah *dengan effect angin*

Siapalah saya. Lewlz. Final exam sem 4 pun belum lagi.

Tetapi benar nasihat Prof, kita perlu menjadi satu badan yang dicantum cantum agar terhasil gerak kerja kerja yang LUARBIASA! Ia perlu bermula dari sekarang.

Sekarang.

Jadi kita generasi muda cakna, perlu sentiasa mencari perkara perkara yang dapat disepakati. Agar satu hari nanti budaya ini membumi, individu individu muslim (baca: daie) yang faham dunia dakwah sihat yang diingini dan dicita citakan kita. Bukan membumikan budaya suka menjurang-jurangkan jurang yang sudah sedia ada. Jurang yang sepatutnya kecil menjadi besar -besar. Beringatlah, kita kini hidup di zaman bermain main dengan emosi media.

RAIKAN. RAIKAN. RAIKAN.

Proses belajar kita tidak akan pernah terhenti. Tidak cukup kita memahami perjuangan Islam dengan apa yang kita faham sahaja. Kita perlu memahaminya secara syumul. Perlu anak muda yang kuat dan faham memerlukan mereka melihat keseluruhan sebelum cabang. Sudahkah kita yakin bahawa kita sudah cukup mengenali jalan dakwah ini 100%  dengan berbekalkan apa yang kita faham selama 24 tahun usia kita hidup? Sediakah kita untuk sentiasa diisi dan ditegur? Jika mulut tidak berhenti bersuara mengambur amburkan prinsip keras yang kita pegang, bila lagi peluang untuk telinga kita mendengar?

Perlunya kita untuk memperbanyakkan konsep “lita’arafu” memahami jalan ini dengan kesyumulan, bukan dengan berbekal ‘kebanggan medan sendiri’ yang kita ada. Untuk belajar itu perlunya pendekatan kita yang kritis tapi bukan sinis. Menghormati disiplin ilmu. Kurangkan bercakap (baca: berdebat) banyakkan berfikir, banyakkan membaca, banyakkan mendekati syuyukh menggali hikmah, banyakkan muhasabah dan ‘litaarafu’. Sekali lagi, kita ini masih hijau. Bangga pada jemaah (alat) yang kita ada adalah satu sikap yang terpuji. Tetapi rasa izzah itu harus berasas dan berpada. Izzah yang berpandu kepada kajian yang mendalam dan istikharah. Bukan hanya kerana ikut ikutan.

Kita pasti tidak mahu kan menjadi tong yang besar, cantik, berkilat dan baru. Belum berkarat. Dari luar fizikalnya nampak gah, tapi isinya kosong. Dihentak hentak bingit bunyinya. Bahkan bunyinya pun lantang dan gah. Begitu lah anak muda, pengalamannya kurang, hikmahnya belum pekat sepekatnya, hammasahnya lantang. Kalau tidak dipandu dengan sebaiknya dikhuatiri ia akan terbabas. Oleh sebab itu selalu disebut sebut “Hammasah syabab, Hikmah syuyukh” kita perlu kombinasi ini. Kita masih perlukan nasihat yang berterusan. 

Tadi ada disebut tentang jemaah jemaah ini perlu disusun dalam susunan yang luar biasa. Aliran yang sistematik. Ini harapan dunia dakwah umat. Susunan luar biasa itu perlukan proses pembelajaran yang panjang dan luar biasa.

Jika dahulu dunia dakwah kita diuji dengan kedatangan penjajah. Terbuktilah dengan kesyahidan tok janggut dan pahlawan pahlawan islam alam melayu yang lain. Sekarang tidak begitu kawan, dakwah kita diuji dengan globalisasi. Hati hati lah akan kecairan ke dalamnya.

Kita sering mendengar nasihat naqibah kita “Antunna kena hormat jemaah lain. Jangan kutuk kutuk. Jaga akhlak”

Pasti ada sesuatu yang mereka mahu sampaikan lebih dari sekadar jangan ‘kutuk. Bagi kita orang muda, hormat hujah orang lain sahaja tidak cukup. Yang lebih baik adalah menjauhi perdebatan. Menjauhi. Bahkan asas dalam mempelajari hal hal khilaf adalah bukan menghormati hujah atau akhlak semasa berdebat. Asasnya itu adalah menjauhi perdebatan. MENJAUHI. Berbeza pendapat itu bukanlah masalah. Tetapi yang ditakuti adalah sikap. 

“Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah para ulama mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu“ -Ibnu Mubarak

Bukan lah maksud saya kita perlu menjauhi segala perbincangan yang kritis, tetapi kita perlu belajar hikmah dan caranya. Ini yang disebut sebagai ‘politik orang muda’. Saya berikan anologi, seorang daie muda yang berada di sebuah kampung yang semuanya melakukan bidaah. Daie yang hanya muda itu mesti perlu berfikir strategi yang terbaik bagaimakah untuk dia mendakwahi orang orang tua di kampung tersebut. Pastinya perlu yang berhikmah dan berstrategi bukan? Bukan terus tegur “Pakcik, Nabi tak ajar ni, ni semua bidaahh!”

Dan mereka yang tidak bersetuju dengan kita bukanlah penentang Allah dan Rasul, tetapi sahabat kita di jalan dakwah. Harus juga diteliti caranya.

JOM! Kita raikan perkara perkara yang bisa disepakati bersama.

Jadi Ummatic Centric bukan Jemaah Centric 🙂

P/S: Pandangan dari anak muda berusia 6 tahun di jalan dakwah yang rindukan dunia dakwah yang kita sama impikan. Maafkan segala salah silap saya. Doakan saya tidak berhenti belajar, terus tsabat dan berjiran dengan antum di syurga kelak. Allahumma ameen

Juga pendapat yang menarik dari ustaz Pahrol (Biar kepala berbeza asalkan hati sama)

–>> http://genta-rasa.com/2013/01/16/biar-kepala-berbeza-asalkan-hati-sama/