22, Tarbiyah, Kematangan.

“Pada usia 22, Hassan Al Banna sudah menubuhkan Ikhwanul Muslimun..” Saya tersentak dihadapan skrin Samsung membaca artikel blog ini. Eh? 22? Esok aku 22 la!

Mengamati usia saya yang secara rasminya bertukar menjadi 22 pada hari ini, 17 Julai 2014. Saya teringat bai’ah diri saya sejak saya berumur 18. Saya bercita-cita mahu menjadi insan yang matang.

Saya teringin sangat menjadi orang yang matang.

Matang memang bersifat subjektif. Matang fizikal,matang fikiran, matang usia. Dan matang yang selalu saya bayangkan itu cara perlakuan yang berkarisma, berpakaian matang dan segak. Matang adalah pendiam. Begitu.

Kemudian saya google apa definisi matang didalam Islam dan akhirnya saya mendarat di quote ini. Paling ringkas dan mendalam saya rasa. Cukup untuk menghuraikan segalanya.

“Matang ini adalah apabila seseorang itu mampu mengaitkan kehidupannya dengan akhirat”-Hilal Asyraf

Akhirat, kejayaan apa lagi yang lebih besar dari kejayaan  di Akhirat? Disana kita bergraduasi. Disana puncak tertinggi pengadilan diri kita. Disana lah garisan penamat setelah semua yang kita kerjakan di dunia.

Disana pengadilan dan keputusan muktamad bagi segala-galanya. Sanalah GOAL tertinggi.

“Your age doesn’t define your maturity, your grades don’t define your intellect, and rumors don’t define who you are.”

Saya mempunyai 2 orang kenalan. Seorang berumur 29 dan seorang lagi berumur 20. Bezanya 9 tahun. Saya melihat sahabat saya berumur 20 ini berperwatakan lebih matang dari yang satu lagi. Caranya menguruskan kehidupan seharian dan pengurusan masa, caranya berinteraksi, cara berbahasa, cara melontarkan pandangan, cara penulisannya, caranya menimba ilmu, cita-citanya, pelan hidupnya. Serba serbi.

Saya melihat dan membandingkan sendiri bagaimana jasad berumur 20 berperwatakan seperti kakak berumur 25. Dan bagaimana kakak berumur 29 berperwatakan seperti 18 tahun.

Jadi atas cemburu yang menyihatkan ini, saya perhatikan cara hidupnya dan cara dia menguruskan kehidupan seharian. Saya perhatikan dan buat analisa sebergaya Edogawa Conan. Mengapa semuda itu dia menjadi sosok yang hebat dan tsiqah di mata saya. Akhirnya saya sampai ke satu kesimpulan dan solusi.

TARBIYAH: IA BENAR-BENAR MEMATANGKAN KITA.

Benar, kerana orang yang ditarbiyah, dia ada visi dan misi hidup yang jelas.

Dia jelas akan pendetailan ‘jobscope’ sebagai Abid dan Khalifah.

Dia bersungguh-sungguh memecut ke Akhirat tanpa bertangguh.

Dia menguruskan hidup dengan menggunakan guideline yang terbaik sepanjang zaman, terbaik melebihi dunia dan seisinya(Baca: Quran dan Sunnah)

Dia bercita-cita tidak terhad hanya di dunia, cita-citanya lebih jauh ke hadapan. Lebih terarah,lebih besar!

Berpandangan jauh, visi hidupnya jelas, tindakannya jua jelas dan bermatlamat.

Ada ramai lagi contoh pemuda Islam yang matang dan popular antaranya Hassan Al-Banna, Khalid Al-Walid, Usamah Bin Zaid. Mari saya bawakan satu contoh ikon anak muda matang kegemaran saya.

Sultan Muhammad Al-Fateh seperti yang kita tahu dia menawan Konstantinopel pada usianya 21 tahun. Dialah yang disebut Rasulullah sebagai sebaik-sebaik raja dan tenteranya sebaik-baik tentera. Ya itu kita semua sudah sedia maklum.

Tetapi sebelum dia berjaya menawan kota itu, dia memulakannya dengan usaha yang sangat keras dan perancangan yang besar. Cita-cita itu tertanam pada dirinya sejak dirinya masih kecil! Dari usianya masih kecil dia sudah dimotivasikan oleh ayahnya Sultan Murad untuk menjadi raja yang disebut Rasulullah itu.

Bahkan dalam usianya belasan tahun dia sudah PAKAR dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa termasuk bahasa musuh. (Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi, Latin)

“Urusan pembukaan Konstantinopel membakar keinginan yang kuat dalam diri Al-Fateh. Beliau menyibukkan diri dari pagi sampai ke malam hari dan kadangkala mengharamkan dirinya daripada tidur. Sultan Muhammad Al-Fateh memikirkan segenap kaedah dan cara yang munasabah melalui perbincangan dengan panglima-panglima perang Uthmaniah..” -Ahmad Mukhtar

Lihat agenda kehidupan sehariannya. Dia tidak bermain-main,tidak bertangguh hanya kerana usianya masih muda. Lihat, inilah sosok pemuda yang dipuji Rasulullah sebaik-baik raja. Jika benar umur yang menjadi ukuran, Empayar Uthmaniah yang gah itu tidak akan memilih seorang Muhammad Bin Murad untuk mengetuai ratusan ribu tentera hanya kerana faktor usianya masih muda.

Ini Khalifah yang jelas tujuan hidupnya.ALLAH TUJUAN HIDUPNYA.

“Pffftt itu zaman dahulu kala la Kak Jihad. Realistik lah sikit, sekarang zaman moden penuh godaan. Memang ramai yang susah nak matang..”

Pernah dengar kisah Ashabul Kahfi kan? Mereka ini pemuda yang mewah hidupnya. Kiri kanan depan belakang godaan dunia bertimpa-timpa tetapi Tauhid tetap menjadi pilihan mereka.Mengasingkan diri di dalam gua tertidur berabad lamanya. Akhirnya Allah pilih kisah mereka diabadikan dalam Quran.

Pernah dengar kisah Musab bin Umair kan? Dia juga pemuda yang mewah menghadapi ujian digilai para wanita Mekah. Sehingga diceritakan aroma minyak wanginya pun sudah dikenali wanita-wanita disana. Dia meninggalkan semua kemewahan itu untuk sama berjuang di jalan dakwah bersama Rasulullah.

Kita sudah maklum contoh contoh yang dihadirkan Allah ini. Tapi mengaplikasikannya dalam hidup kita tersangatlah berat bagi kita.

Zaman lain-lain. Ujian masih sama. Usaha keras lain-lain. Yang tidak matang itu wahai pemuda pemudi Islam, kita yang memilih. Sobs..*tutup muka nanges

“Kita adalah ummat yang dimuliakan kerana Islam, jika kita memilih selain Islam, Allah akan menghina kita..”- Umar Al Khattab.

Memang susah nak jadi matang..jika umur 22 siang malam kita hanya beragendakan pakwe/makwe/crush kita. Siang malam difikiran kita. Ubah relationship FB berkali-kali kapel cerai kapel cerai pastu cari lagi lain. Stalk last seen whatsapp setiap 10 minit takut jika si dia curang menjadi agenda harian hidup kita.

Tanpa sedar ia menjadi karier hidup kita.

Memang susah nak jadi matang..jika umur 22 kita masih menggilai artis K-Pop yang langsung tidak mengenali kita dan tidak tahu pun yang kita tengah fanatik padanya. Kumpul lagu download, cari lagi yang baru. Update sentiasa. Berlomba-lomba.

Tanpa sedar ia menjadi karier hidup kita.

Memang susah nak jadi matang..jika umur 22 kita masih kemaruk hidup di dunia DOTA. Berjuang dengan tokoh2 perang game yang dicipta teknologi. Marah maki carut. Kita hidup di dunia yang dicipta mereka.

Tanpa sedar ia menjadi karier hidup kita..dan kita bertanya pada diri..”KENAPA AKU NI TAK MATANG-MATANG EA?”

Sahabat, Mari kita renungi kata-kata Sayyid Qutb ini:

“Aku telah hidup di bawah bayangan Al-Quran dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini
Dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil,
Aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka,
Iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak,
Kefahaman dan pemikiran kanak-kanak,
Minat dan cita-cita kanak-kanak
Sama seperti seorang tua kepada mainan kanak-kanak,
Percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak.
Aku merasa kaget dan hairan kenapa manusia jadi begini?
Mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini?
Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar
Iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang?
(petikan daripada muqaddimah tafsir fi zilal quran)

Hanya seruan dari Al-Quran inilah dapat MEMBERSIHKAN USIA kita.

Saya ibaratkan kita ini seperti peserta-peserta yang menyertai pertandingan lumba lari. Peserta lain sudah berlari memecut kegarisan penamat memburu kejayaan, kita pula berhenti seketika hanya kerana ingin menikmati keindahan bunga tahi ayam di tepi jalan. Alangkah ruginya! Sedangkan di garisan penamat sudah tersedia bunga Ros malahan bunga Rafflesia!

Moga kita terus berlari, mahupun merangkak sekalipun kerana kita sudah tidak mahu menjadi lebihan dunia. Kita lah yang mahu memakmurkan dunia ini dengan Islam!

Kita tidak mahu menjadi singa berani yang telah ditipu teruk oleh tenuk katanya “wei brader,kau tu hanyalah seekor kijang.” Kita telah kekeliruan identiti.

Kita tidak mahu menjadi pemuda yang tunduk dibawah dunia. Kita mahu menjadi menjadi pemuda yang dibawah telunjuk kita lah merayunya dunia.

“InsyaAllah Kak Jihad, saya sudah mengikuti Usrah. Saya mengikuti sistem tarbiyah jemaah ni. Saya selamat!”

Saya pun dulu menyangkakan bila saya sudah bertudung labuh dan saya berusrah saya sudah terhijrah dan selamat. Ternyata saya silap.

Hakikatnya, DALAM HIJRAH MASIH ADA HIJRAH. Dan sepanjang kehidupan kita ini kita akan sentiasa berhijrah. Sentiasa belajar. Hijrah kita hanya akan kuat bila kita benar-benar terikat dengan Tauhid. Terikat dengan ketat. Erat.

Kita benar-benar terikat dengan Tauhid sehingga kemuncaknya Allah memanggil kita pulang setelah kita sudah jauh melangkah. Ini KPI hijrah kita.

Hijrah kita terbukti di kemuncak bukan hanya kerana tudung labuh kita, kita diusrahkan, kita berjemaah. Itu hanya alatan untuk kita menuju kepada Taqwa. Tarbiyah Dzatiyah kita juga diambil kira. Sewaktu kita berseorangan.

Begini, satu group usrah punya 7 ahli. Naqibah yang sama, bahan yang sama, tadabbur ayat yang sama. Waktu usrah yang sama, tempoh yang sama.

Tetapi sebaik sahaja kita keluar dari sesi bulatan usrah itu dan menjalani kehidupan seharian kita. Ia bertukar menjadi..

Usaha lain-lain, disiplin lain-lain, aplikasi lain-lain, usaha untuk istiqamah lain-lain. Jadi semuanya bergantung kepada usaha diri kita sendiri.

Usrah bukanlah segala-galanya. Adalah sangat menyukarkan tarbiyah diri kita jika kita hanya bergantung 100% pada naqibah kita. Bergantung kepada sesi usrah yang ada. Hakikatnya usrah berjalan pada sesi sejam dua, disana kita berkongsi segala teori dan semangat. Praktikalnya berlangsung 24 jam sehinggalah kita bertemu pada sesi usrah yang akan datang. Jadi ertinya tiap tiap hari kita berusrah.

Bersemangatlah untuk mengaut bahan tarbiyah diri lebih daripada apa yang diberikan oleh Naqibah kita.

Ada yang sambil memasak sambil mendengar ceramah Nouman Ali Khan
Ada yang sambil menunggu bas sambil tilawah dan tadabbur Quran
Ada yang diamanahkan Naqibah membaca satu buku fikrah ditambah pula mutarabbi dengan 3 buku fikrah yang lain
Ada yang joggingnya bersama lagu Shoutul Harokah dan Izzatul Islam

Memanfaatkan masa untuk tarbiyah dan dakwah sepenuhnya.

Insan insan begini memanfaatkan masanya sama seperti Sultan Muhammad Al Fateh memaksimakan penggunaan masanya. Semuanya beragendakan pembinaan diri dan pembinaan ummah. Tiada punya masa untuk bermain-main.

Jadi tidak hairanlah bila kita berkongsi naqibah yang sama, bahan sama usrah yang sama tetapi bila kita bertemu kembali result pula lain-lain. Ada yang lebih kedepan dari kita dan kita dapat merasakan kematangannya jauh lebih menyerlah dari kita. Semuanya bergantung kepada tarbiyah dzatiyah masing masing.

Hubungan kita dengan Allah. Sejauh mana keterikatan kita kePadaNya. Ini lah penanda aras utama. Tanpa keberadaan Naqibah, tanpa ada akhawat disisi. Walau tanpa manusia menilai.

Tauhid akhirnya menjadi KPI utama. Hubungan kita dengan Allah. Atas keterikatan inilah, Allah akan membersihkan usia kita, bererti..bertambahlah aras kematangan kita dalam melihat dunia ini. Bertambah kematangan kita dalam usaha tarbiyah diri.

Saya terkesan dengan kata-kata wardina “Anda bukan hanya apa yang anda makan. Anda adalah apa yang anda makan, baca, dengar, lihat..”

Saya setuju with olmaiheart. Sekeliling kita mempengaruhi siapa diri kita. Rakan-rakan kita, apa yang menjadi bahan bacaan kita, tontonan kita, muzik bagaimana yang menjadi hiburan kita, apa yang disuap ke dalam badan kita yang akhirnya akan menjadi darah daging kita.

Kita boleh berhibur dngan hedonisme. Kita daie boleh seronok berhibur tanpa rasa risau. Tapi saya boleh ibaratkan hedonisme ini seperti ROKOK dan BADAN. Rokok, ramai perokok merasakan sepuntung rokok hanyalah remeh untuk asapnya keluar masuk dalam badan. Rokok itu saya boleh ibaratkan seperti hedonism.

Kita punya jasad dan ruh yang sudah berbai’ah mahu ditarbiyah. Jasad kita suci, bersih dan sihat. Tapi sayangnya tiba-tiba ia mahu disuakan rokok. Dan kita berkata:

“Ala takpe..sikit sikit je hisap..” Tapi kerana sikap ‘sikit-sikit’ inilah yang lama kelamaan akan membinasakan jasad kita.

Begitulah ruginya kita jika masih bergelumang dengan karat-karat jahiliyah. Kerana karat jahiliyah ini akan membantutkan proses kematangan kita. Membantutkan proses kita mengejar akhirat secara TOTAL.

Dan bila kita mahu tahu apakah dia resipi rahsia menuju kematangan. Bahan apakah yang digunakan? Adunan bagaimanakah?

Saya rasa ini sudah tidak menjadi rahsia lagi. Kita tahu darimana sosok ini datang, bahan motivasi apa yang digunakan. Al-Fateh, Khalid Al walid, Hassan AlBanna.

Mereka ini imej imej yang dibentuk melalui QURAN! Mereka inilah sungai-sungai yang mengalir daripada Quran.

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi ” (Al Baqarah :30)

Jika Quran telah memotivasikan mereka kenapa bukan kita? Bukan kah Allah telah memberikan kita bahan yang sama?

Jadi jangan putus asa ya! Angkat wajahmu, tersenyum kucenglah dengan penuh harapan.

Jadi mulai hari ini saya tidak mahu hanya kelihatan matang,
Saya mahu menghidupkan hidup dengan goal akhirat. Doakan saya ya sahabat.

Happy Birthday!

PenOff
3:39 AM
Sahur terus,
Imsak kat Sabah before pukul 5.

Leave a comment